Saturday, January 30, 2010

Environment

Sekadar ingin berkongsi kompilasi gambar-gambar rawak
persekitaran yang saya buat sekitar 2 minggu lepas. Saya masih baru
dalam bidang mengambil gambar dan peralatan juga masih asas.
InsyaAllah kalau ada peluang ingin saya ceburi bidang ini dengan
lebih jauh.

Gambar-gambar ini mula diambil sekitar seminggu selepas kamera
dibeli, iaitu 5 bulan lepas sehinggalah yang terkini. Peralatan ialah Nikon
d5000 dan lense kit Nikkor 18-55mm. Manakala lagu latar belakang
ialah Soundtrack daripada filem Slumdog Millionare : Latika's Theme.
Selamat menonton =]




p/s : ramai yang bertanya tentang akaun Flickr saya. Kerana agak
tidak logik bagi seorang pemilik DSLR jika tidak memiliki akaun Flickr
ataupun yang sewaktu dengannya. Mungkin saya tergolong dalam
golongan pelik tersebut? Waaaa. InsyaAllah nanti kalau ada
kesempatan saya akan cuba buat.

Thursday, January 28, 2010

Resipi Hari Ini

Apa khabar semua? Semalam adalah hari jadi kepada rakan saya
Faris, jadi saya telah bercadang untuk cuba membuat masakan Tomyam.
Biasanya setiap kali saya mencuba masakan ini, pasti ramuannya
tidak lengkap. Jadi semalam saya mencuba untuk menggunakan
bahan-bahan yang lengkap.

Cuaca semalam sangat sejuk iaitu julat di antara -11°c hingga -9°c dan
juga berangin. Angin sepoi-sepoi bahasa menyebabkan cuaca yang
sejuk bertambah sejuk. Telinga dan jari-jemari terasa sakit dan kebas.
Di rata-rata kawasan tiada lagi bahagian yang basah kerana
semuanya telah beku. Walaupun hanya sebentar saya keluar
melangkahkan kaki untuk mencari bahan-bahan masakan di kedai
Asia serta menuju ke Bank, namun ianya sudah cukup untuk
menggetarkan jiwa nurani.

Adakah rakan-rakan pernah makan Tomyam? Soalan ini mungkin
sia-sia kerana sudah pasti semua orang pernah merasainya. Saya pun
menyukai tomyam tambah-tambah bila ada orang belanja.
Sebenarnya ianya amat mudah sekiranya ada bahan-bahan yang
diperlukan. Kita hanya perlu campak dan tunggu. Jadi abang-abang
kakak-kakak sekalian, hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit
mengenai cara-cara asas membuat Tomyam :

1) Bahan-bahan (untuk 5-6 orang makan) :

a) Lengkuas, halia, serai, daun limau dan juga cili.

b) Bawang besar, bawang putih, limau purut dan juga jagung kecil
(bawang merah dan lobak merah juga boleh ditambah ya).


c) Oleh kerana saya ingin membuat Tomyam ayam udang, jadi saya
menggunakan udang yang telah disiang dan daging ayam yang
dipotong dadu. Saya menggunakan 600 gm ayam dan
400 gm udang. (kita juga boleh menambah daging lembu sekiranya
bajet tinggi dan kaya ya).


d) Ini bukanlah ramuan utama ya. Namun kita boleh menambah
kiub tomyam ataupun tomyam segera jika kurang keyakinan diri
seperti saya. Tetapi kalau boleh janganlah terlalu banyak kerana
biasanya penambah-penambah perisa mengandungi MSG yang
tidak baik untuk kesihatan.

2) Langkah-langkah :

a) Mula-mula kita potong bahan-bahan tadi menjadi kecil (dalam
gambar bahan-bahan sudah pun dipotong).

b) Kemudian kita siang udang dan potong daging ayam menjadi
bentuk seakan-akan dadu. Mengapa? kerana ayat ini banyak
digunakan di dalam langkah-langkah memasak. Saya cuma
meniru supaya nampak professional huhu. Tetapi saya yakin
motif utamanya adalah supaya senang dimakan (di dalam gambar
sudah pun disiang dan dipotong).

Contoh perbezaan udang yang belum dan sudah disiang
( kita cuma buang muncung, janggut, kaki dan ekornya sahaja ya)

Ini contoh kesilapan yang kita tidak mahu
(janganlah anda silap mengasingkan udang dan sampahnya ya)

c) Kemudian kita masukkan minyak, tunggu sehingga panas, dan
tumis bawang besar, bawang putih, serai, daun limau, halia, cili,
dan lengkuas. Tunggu sehingga bau naik dan masukkan sedikit air.
Kemudian tutup dan tunggu sekitar 10-15 minit.


d) Selepas itu kita tambahkan air dan tunggu sehingga air tersebut
panas. Kemudian kita punggah ayam dan udang kita tadi dan tutup
kembali sekitar 20 minit (sekiranya kita menggunakan kiub
Tomyam tadi, boleh dimasukkan sekarang).

e) Kemudian kita masukkan jagung kecil kita tadi dan perah
limau purut untuk mendapatkan airnya. Untuk kelihatan lebih
mantap anda boleh perah dan terus mencampakkan dengan
limau-limaunya sekali ke dalam periuk. Saya telah mencuba namun
tidak masuk. Jadi anda janganlah campak ya, masukkan sahaja
perlahan-lahan. Tidak rugi.

f) Akhir sekali, masukkan garam dan gula secukup rasa ya.

Jadi inilah hasil saya yang tidak seberapa. Mungkinkah Tomyam
anda akan lebih mantap?

Tom Yam Gung

...................................................................................................................................

Selepas solat Isyak berjemaah semalam, kami makan malam
bersama. Saudara Hilmi membuat telur dadar special manakala saudari
Fadhilah membuat Brownies special khas untuk Faris. Di bawah ada
sedikit gambar-gambar yang ingin dikongsi.

Faris dipakaikan bekas pembuat Brownies

Acara memotong telur dadar ditemani susu kacang soya Yeos

Fotogenik

Tiba-tiba ada seorang artis jalanan yang mengambil untung
tatkala acara sedang berlangsung

Acara memotong Brownies

Selamat hari jadi Faris. May Allah bless u always. Walaupun yang paling
muda, yang paling penting jiwa tetap matang.

Friday, January 22, 2010

Minat

Assalamualaikum dan selamat hari Jumaat kepada saudara-mara
dan sahabat handai sekalian. Semua orang ada minat tersendiri. Apakah
minat anda? Atau adakah sebaliknya anda yang diminati? Sebagai
seorang remaja lelaki normal, saya mempunyai pelbagai jenis minat
atau hobi sejak kecil yang berubah-ubah hinggalah sekarang. Jadi
saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai minat-minat tersebut :

1) Tidur di dalam pakaian-pakaian yang belum dilipat.

Semasa kecil, saya amat gemar tidur di dalam pakaian-pakaian yang
belum dilipat. Selepas dimarahi terutamanya, saya akan mengambil
keputusan untuk membawa jiwa yang sebak dan tidur di dalam
pakaian-pakaian tersebut. Perasaan selesa ini sangat susah
untuk diterangkan. Mungkinkah anda patut mencubanya? Biasanya
pakaian-pakaian ini akan dibasuh semula oleh Mama atau Kakak.
Kini disebabkan usia yang semakin meningkat, saya cuba untuk
melupakannya.

bantal yang tak busuk sangat

2) Melukis.

Saya tidak dapat ingat sejak bila minat ini datang. Tetapi sejak sekolah
menengah, saya amat gemar melukis. Antara benda-benda kegemaran
untuk dilukis ialah genre-genre seperti kartun-kartun di dalam majalah
Ujang terutamanya Blues Untuk Aku. Untuk meningkatkan kemahiran,
saya meniru 100% kartun-kartun tersebut pada awalnya dan cuba
melakar-lakar pada waktu lapang. Akibatnya, buku-buku teks dan
rujukan semuanya penuh dengan lukisan dan contengan. Walaupun
lukisan saya tidaklah cantik, namun lukisan dapat membuatkan
kita kreatif dan menggambarkan apa yang tersimpan di hati.

lukisan untuk kelas (2007)

3) Membaca.

Walaupun sukat untuk dipercayai, namun saya pernah mempunyai
minat terhadap membaca yang tinggi. Semasa di bangku sekolah,
saya minat membaca novel-novel penyiasatan pendek serta novel-novel
melayu. Manakala di sekolah menengah, minat saya lebih ke arah
novel-novel cinta dan jiwang hasil pengaruh kakak-kakak sekalian.
Untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris, saya mengambil
keputusan untuk beralih ke novel-novel inggeris. Tetapi adakah ianya
berhasil? Ianya agak membantu, tetapi saya dapati bahawa novel
inggeris agak lambat untuk dihabiskan berbanding novel-novel melayu
dan juga komik terutamanya. Mungkin disebabkan minat yang
menebal, saya telah dilantik menjadi ketua pustakawan semasa
tingkatan 2. Saya sendiri mendapati bahawa ianya sukar untuk
dipercayai.

Form 5

4) Nasyid dan menyanyi.

Saya menyedari bahawa saya minat ke arah bidang ini semasa di
sekolah menengah. Walaupun suara tidaklah seperti buluh perindu,
namun saya tetap meminatinya. Semenjak tingkatan 1, saya
melibatkan diri dalam kumpulan-kumpulan nasyid di sekolah.
Disebabkan minat ini, tempoh saya berada di dalam bilik mandi telah
menjadi lebih lama. Hal ini kerana cuma bilik mandilah satu-satunya
tempat yang kalis bunyi dan tidak akan mengganggu orang lain.
Semasa duduk bersendirian juga saya gemar menyanyi. Setakat ini
saya belum pernah dimarahi kerana bising. Mungkinkah
masanya akan tiba?

Ipod yang sekarang ada kat Kak Jah

5) Bermain Skateboard.

Minat ini bermula sejak selepas PMR kerana pengaruh kawan. Pada
mulanya cuma tertarik melihat rakan-rakan bermain, kemudian saya
sendiri mencubanya dan mendapati bahawa ianya menarik. Pelaburan
untuk minat ini agak tinggi, jadi saya tidaklah begitu serius menceburinya.
Selepas sekitar 2 tahun, saya berhenti seketika dan sambung semula
semasa di sini. Pada mulanya saya bercampur dengan remaja-remaja
di sini, namun disebabkan perangai mereka yang tidak seperti
rakan-rakan melayu, saya berasa agak bosan dan berhenti.

Form 3

6) Breakdance.

Bagi saya, minat ini bagus kerana ianya seperti gabungan antara seni
dan sukan sekaligus tanpa memerlukan kos untuk membeli peralatan.
Namun hobi ini agak berbahaya dan berisiko. Minat ini juga bermula
semasa sekolah menengah hasil pengaruh rakan-rakan di sekolah.
Saya juga tidaklah begitu hebat dan cuma mampu membuat
pergerakan-pergerakan asas, namun sudah cukup untuk mengeluarkan
peluh. Sekali lagi minat ini berkurang selepas kurangnya rakan yang
meminati hobi yang sama.

Freeze

7) Bermain gitar.

Minat ini baru bermula sekitar 6 bulan yang lepas. Saya memang sudah
lama tertarik dan teringin untuk mempelajari alat muzik. Dan sekitar
6 bulan yang lepas, saya berpeluang untuk belajar daripada rakan-rakan
di sini. Saya masih sangat baru dalam hobi ini dan masih belum
cekap. Minat ini agak menyusahkan kerana tanpa azam yang kukuh,
masa akan banyak terbazir. Keluarga saya juga banyak berpesan
supaya mengurangkan bermain gitar.

Epiphone

8) Mengambil gambar.

Saya sangat kagum dengan kejadian mata manusia yang sangat
canggih. Bayangkan saiz mata kita yang kecil mampu menangkap
gambar objek dengan jelas serta boleh fokus secara automatik dan
terus menghantar maklumat serta disimpan di dalam memori.
Teknologi manusia sama sekali tidak akan dapat menandingi ciptaan
Allah swt ini. Dari sinilah minat saya lahir di samping tertarik
dengan gambar-gambar yang sangat cantik hasil daripada kamera
DSLR. Minat ini bermula sekitar 5 bulan yang lepas. Pada mulanya
saya cuma berniat untuk memilik Nikon D60, tetapi kebetulan semasa
itu model baru iaitu Nikon D5000 baru dilancarkan, jadi saya mengambil
keputusan untuk membelinya.

Nikkor lense 18-55mm

9) Memasak

Masak ni seronok. Kenapa? Kerana ikut suka hati kita untuk menentukan
ramuan apa yang hendak diletakkan. Perasaan yang saya rasa semasa
memasak samalah seperti di dalam makmal sains, di mana kita boleh
mencuba-cuba dan melihat hasilnya. Cuma bezanya dalam masakan
ialah kita merasa. Saya juga bukanlah chef yang berkemahiran tinggi
mahupun hensem, tetapi saya berasa gembira apabila orang gembira
dan kenyang hasil daripada masakan sendiri.

Lakonan sahaja ya

................................................................................................................................

Itulah antara minat-minat yang saya dapat kesan setakat ini. Namun
minat yang paling penting untuk kita sebagai hamba Allah swt ialah
minat dengan janji-janji yang ditawarkan oleh Allah swt kepada kita
iaitu Syurga. InsyaAllah dengan minat ini kita akan sentiasa mebaiki
kualiti diri terutamanya dalam ibadah.

Wednesday, January 20, 2010

Exam

Selamat petang dan selamat sejahtera diucapkan kepada rakan-rakan
serta para pembaca yang budiman sekalian, dalam sekitar 11 hari
lagi saya akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Jadi di kesempatan
ini saya ingin berkongsi sedikit tentang 7 subjek yang akan
saya duduki pada semester ini :

1) Mathematik 1 :


Sudah pasti semua sudah maklum dengan subjek ini yang kita belajar
semenjak tadika lagi. Siapalah kerja rumah tanpa subjek ini? Biasanya
sebelum habis kelas, pasti guru subjek ini akan memberi kerja rumah
yang setimpal dengan kelakuan murid-murid di dalam kelasnya. Tetapi
suasana di universiti sudah sedikit berubah. Kini kita menjadi guru untuk
diri sendiri. Kerja rumah diberikan oleh diri sendiri setimpal dengan
kelakuan diri sendiri.

Untuk mengulangkaji subjek ini, saya membuat koleksi
soalan-soalan daripada tahun-tahun yang lepas. Walaupun soalannya
berlainan, namun bentuk soalannya hampir sama. Dalam subjek ini,
penggunaan bahasa german kurang memberi kesan kerana banyak
menggunakan nombor sahaja.

2) Statik (technische Mechanik 1) :


Subjek ini menekankan mengenai konsep daya. Antara contoh yang
senang dilihat ialah jambatan dan playar. Setiap bahagian sudah pasti
mempunyai daya dan arah tersendiri. Walaupun kesimpulan yang saya
dapat buat daripada keseluruhan subjek ini ialah cuma berkenaan
daya, namun adakah saya gembira? Sebenarnya saya sangat keliru
pada awalnya apabila konsep sebenar agak sukar difahami.
Namun bertemankan rakan-rakan yang berkarisma, saya kini mampu
tersenyum seketika.

3) Physik 1 :


Rakan-rakan juga pasti sudah maklum dengan subjek ini. Siapalah SPM
tanpa subjek ini? Subjek inilah yang menjadi batu tautan diantara
pelajar-pelajar SPM kerana semua aliran harus mengambil subjek ini.
Walaupun subjek ini sudah dipelajari berulang kali semenjak sekolah
menengah, persediaan di Malaysia, dan juga persediaan di sini,
namun saya masih harus menguasai formula-formula yang kadangkala
kelihatan seperti bertukar-tukar, namun hanyalah ilusi saya sendiri.

4) Werkstoff (Material) :


Kesimpulan yang saya dapat selepas mempelajari subjek ini ialah
penguasaan tentang bahan. Bukanlah bahan masakan mahupun bahan
bacaan, tetapi tentang bahan-bahan yang berada di sekeliling kita.
Contohnya sifat-sifat bahan tersebut dalam beberapa
eksperimen dan penilaian mengenainya. Bunyinya menarik, tetapi
lebih menarik lagi apabila saya berasa gembira di dalam makmal
apabila yakin bahawa saya faham mengenainya, namun fakta sebenar
sangatlah berlainan apabila saya mengkajinya di internet.

5) Konstruktion 1 (construction) :


Subjek ini adalah 1 langkah kehadapan selepas technical drawing
(lukisan kejuruteraan). Antara perkara yang ditambah ialah
mengenai ralat di dalam ukuran, sifat-sifat permukaan bahan, dan
lain-lain. Kemahiran yang perlu cuba dikuasai ialah fikiran logik
tentang bahan tersebut dan cuba untuk melukisnya. Bahan-bahan
yang bersambungan dan membentuk sebuah alat ditambah dengan
skru-skru dan nat-nat memujuk pelajar supaya berfikiran lebih
matang dalam menempuh era hidup pra-matang ini. Terdapat juga
sedikit kira-kira yang perlu difahamkan.

6) Fertigungsverfahren (manifacturing process) :


Bagaimanakah untuk membentuk pintu kereta? Apakah bahan-bahan
yang paling sesuai? Apakah cara yang paling cepat, murah, dan
senang? Itulah antara matlamat yang terhasil apabila mempelajari
subjek ini. Subjek ini agak menarik dengan video-video ilustrasi yang
ditunjukkan di dalam kelas dan juga pelbagai gambar-gambar menarik
mengenai cara-cara dan teknik penghasilan objek. Namun subjek ini
adalah yang paling banyak perlu dihafal. Adakah saya gembira? Ya
saya gembira kerana saya suka menghafal. Namun saya masih perlu
melakukan banyak latihan kira-kira untuk subjek ini.

7) CAD (Computer Aided Design) :


Melukis menggunakan perisian komputer. Bunyinya menarik dan
menggembirakan tetapi adakah saya cukup kreatif dalam penggunaan
perisian ini? Wah nampaknya subjek ini juga praktikalnya
adalah selama seminggu semasa pertengahan cuti yang bermaksud
cuti musim bunga kali ini tidaklah lancar seperti yang dijangka.
Belum ada kesimpulan yang dapat saya buat mengenai subjek ini.
InsyaAllah bulan Mac ini akan saya kongsi.

Saya amat berharap agar saya dapat sekurang-kurangnya lulus
kesemua subjek ini. InsyaAllah. Doakan ya !

Related Posts with Thumbnails