Friday, April 30, 2010

Random

(Picnic Bingen)
(Bingen : Mac 2010)


Tuesday, April 27, 2010

Jimat

"Ooo mana boleh.. Makan dalam cawan.. Guna la kon aiskrim.."
kata salah seorang daripada adik beradik.

"Ala ambik sikit je.. Lebih kurang mcm letak dalam kon je.."
balas saya.

Ini adalah situasi biasa yang berlaku semasa saya kecil iaitu semasa
makan aiskrim. Biasanya jika Baba beli aiskrim, dia akan beli kon sekali.
Jadi kami akan makan menggunakan kon serta merta menjimatkan
kadar aiskrim yang dimakan. Semasa semuanya masih kecil, ia agak
menimbulkan kontroversi sekiranya ada yang makan aiskrim
menggunakan cawan, kerana kuantiti yang akan dimakan pasti lebih
sedikit. Tapi semakin kami meningkat dewasa, isu ini semakin
kurang dibahaskan.

Di sabah semasa berumur 7 tahun.
Cuba teka saya yang mana satu?
..........................................................................................................................................

Sejak kecil, Baba dan Mama sentiasa melatih saya dan adik beradik
yang lain agar hidup sederhana dan tak memanjakan diri sendiri. Bila
saya sudah agak matang dan tahu berfikir sendiri, saya faham bahawa
sebenarnya kami mampu memiliki gaya hidup lebih sedikit berbanding
yang sedia ada. Namun saya faham apa yang mereka cuba terapkan
dan saya ambil ia sebagai perkara yang patut dicontohi. Antara
perkara-perkara yang saya perasan ialah :

1) Semasa saya kecil terutamanya, majoriti bekas-bekas dan cawan di
rumah saya ialah bekas aiskrim serta cawan dan bekas yang diambil dari
dalam kapal terbang. Mereka mengumpul bekas-bekas tersebut setiap
kali membeli aiskrim dan setiap kali menaiki kapal terbang.

2) Mereka jarang membuang barang-barang lama dan berfikir
masak-masak untuk membeli barang-barang baru. Walaupun ini
menyebabkan di rumah saya ada banyak barang yang tidak digunakan,
tapi ia mengajar saya agar tidak membazir. Baba juga pernah membuat
meja sendiri dan meja tersebut bertahan selama lebih 10 tahun.

3) Bila membeli pakaian semasa membesar, mereka akan membelikan
untuk saya atau menasihati saya supaya membeli saiz pakaian yang
besar agar boleh dipakai untuk jangka masa yang lama. Jadi semasa
membesar, saya dan adik beradik yang lain jarang membeli baju baru.
Dan pakaian dari adik-beradik atas akan diturunkan ke bawah. Walaupun
saya tiada abang, tapi banyak juga pakaian kakak-kakak saya
yang boleh dipakai.

4) Mereka tidak memberikan wang belanja yang terlalu banyak untuk ke
sekolah, tetapi ianya tetap berpatutan. Semasa kecil saya memang
perasan dan tak faham. Tetapi saya hanya pendamkan memandangkan
wang belanja tersebut cukup dan saya masih mampu menyimpan.

5) Mereka juga tak terlalu memenuhi permintaan saya dan adik beradik
lain jika kami meminta sesuatu dan menerangkan bahawa ianya mahal
dan tidak diperlukan. Ini membuatkan saya jarang meminta jika teringin
sesuatu benda. Mama juga selalu mengingatkan saya bahawa kami
bukanlah keluarga senang. Semakin saya meningkat dewasa, saya
semakin faham bahawa sebenarnya mereka mampu. Tetapi saya sudah
terbiasa dan saya ambil ia sebagai pengajaran.

6) Saya juga perasan bahawa mereka sentiasa merendah diri berbanding
status mereka yang sebenarnya. Ini memberi kesan kepada saya
dan memberi idea kepada saya bahawa keluarga saya tidaklah
sekaya keluarga-keluarga lain. Tapi bukanlah terlalu merendah diri
sehingga menimbulkan kesan negatif, tetapi melatih diri supaya
perasaan riak dalam diri dapat dikurangkan. Semakin saya meningkat
dewasa dan dapat berfikir, saya sebenarnya berasa sangat bangga
dengan status mereka yang sebenarnya dan berhasrat untuk
mencontohi mereka.


Sebenarnya saya juga cuba melatih diri untuk berjimat kerana saya
agak membazir dan jarang beringat, terutamanya semasa belajar di sini.
Jadi saya harap dapat mengembalikan sifat-sifat yang telah diajar
oleh mereka dahulu. InsyaAllah =]

Sunday, April 25, 2010

Ziarah

"Sejuk la pulak duk bawah bayang2 ni.."
Kata saya kepada Kamil semasa menunggu Encik Asaari datang
mengambil kami di stesen Wiesbaden.

"Oo jom ar duk belah sana, kena cahaya matahari.."
balas Kamil sambil menujuk ke tempat duduk yang terkena
cahaya matahari.

"Waah panas..."
kata saya sambil mengecilkan bukaan mata kesan cahaya
matahari yang agak silau.

"Macam berjemur la plk.. Patut la orang suka berjemur.."
komen Kamil lagi.

Mengikut pengalaman saya sepanjang di sini, memang inilah yang
dirasakan semasa musim bunga ataupun kadang-kadang semasa
musim panas. Yang menyebabkan kehangatan terasa adalah haba
daripada cahaya matahari dan bukannya sepenuhnya
disebabkan suhu persekitaran. Perbezaannya terasa ketara bila
berada di bawah cahaya matahari dan berada di bawah tempat
teduh. Contohnya suhu 15 Celsius tetapi cuaca panas terik. Suhu
tersebut mungkin tidak dapat dijangka sekiranya anda berada
di bawah panas terik.

Summer 2009 (Cologne)

............................................................................................................................................

Pada hari Jumaat yang lepas, Encik Asaari, Konsul JPA di sini, telah
menghubungi Kamil dan beliau telah mengajak Kamil dan saya untuk
bersama-sama melawat seorang pelajar Malaysia yang sakit di sebuah
hospital di Wiesbaden. Jadi kami telah bersetuju untuk bertemu di stesen
utama Wiesbaden dan sama-sama bertolak dari sana. jadi selepas solat
Jumaat di Mainz, kami pergi ke Wiesbaden dan menunggu beliau di sana.

Beliau tiba bersama-sama keluarga beliau dengan MPV Volkswagen
yang dipandu oleh pemandu beliau. Rasanya lebih cepat sekiranya
pergi ke hospital tersebut dengan menaiki bas, kerana saya dan
Kamil menaiki bas untuk perjalanan pulang. Faiz namanya pelajar yang
sakit itu dan sebenarnya belajar di Karlsruhe dalam bidang
elektrikal. Semoga Allah memudahkan urusannya.

Semalam pula saya dan rakan-rakan di Rüsselsheim menziarahi Mat,
Kak Liza, serta anak mereka Liya Raihany. Kak Neny, Acik, serta Bella
Biha turut datang. Sudah pasti sekali selepas pulang dari rumah
mereka kami akan pulang dengan perut seperti sarat mengandung.
Semalam kami telah membantai laksa pada petang dan bubur lambok
pada malamnya. Liya pula sudah berumur 6 bulan. Tak sabar rasanya
hendak menunggu beliau pandai bercakap.

Semalam juga saya telah menziarahi kedai gunting rambut. Wah
wah. Walaupun servis memotong rambut di sini agak mahal dan
saya tiada duit, tetapi kadangkala sifat tidak sedar diri itu penting
sekali. Ini merupakan kali ke 4 saya memotong rambut di German.
Walaupun saya agak gemar menyimpan rambut panjang, tapi memikirkan
bulan 7 ini saya akan pulang ke Malaysia, jadi saya fikir lebih baik
saya potong dahulu memandangkan Mama kurang gemar anak-anak
terunanya berambut panjang. Apalah salahnya ikut kan. Tak susah pun
kalau nak dibandingkan dengan kesusahan mereka membesarkan kita.


Sebelum..

Selepas..
(gaya agak tak tahan)

.................................................................................................................................

P/S : Saya minta maaf kerana post yang bertajuk 'Nervous'
sebelum ini telah saya batalkan kerana ada pihak yang menegur
agar tidak menghebahkan perkara yang belum tentu. Sebenarnya
saya tidak berniat untuk menghebahkan kerana cuma terfikir
untuk menulis di dalam diari sendiri. Tetapi saya terlupa
bahawa ianya adalah umum. InsyaAllah saya tidak akan
mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Friday, April 23, 2010

Random

(Makan-makan cari jalan )
(Rumah Setiawangsa : Cuti Summer 2009)








.................................................................................................................................

Sekadar berkongsi untuk yang berminat :

1) Saya menggunakan mode - food yang telah tersedia di dalam
kamera.

2) Saya memilih untuk tidak menggunakan flash, jadi ianya
memerlukan sedikit usaha untuk tidak menggerakkan kamera
agar gambar stabil. Siapa yang banyak pitih, boleh tak tolong
belanja tripod? T_T

3) Gambar-gambar diedit sedikit menggunakan Microsoft
Office Picture Manager.

® Hakcipta tidaklah terlalu terpelihara, kerana saya tidak
memelihara mereka, saya cuma menangkap sahaja.

Thursday, April 22, 2010

Istiqamah?

"Semua orang perlukan peringatan. Tak kisah la imam ke, ustaz ke,
budak kecik ke, nelayan ke, mat rempit ke, semuanya perlukan
peringatan.. Sebab fitrah iman kita yang turun naik, tak macam
iman malaikat.." kata Abang Hisham dari Hamburg suatu
ketika dahulu.

Siapa yang bersetuju dengan ayat di atas? Sila angkat tangan. Saya
sebagai manusia biasa bersetuju, maka saya pun angkat tangan
walaupun sekarang saya berseorangan di dalam bilik. Kerana
berdasarkan pengalaman saya, memang bila saya memenuhi keperluan
rohani untuk diri, maka serta merta terasa kemanisan iman. Bila
berjauhan dengan keperluan rohani, maka sikit demi sedikit
kepentingan dunia mengatasi semangat tadi.

Gambar semata-mata cuma setakat sekadar hiasan.
(Saya, Akmal dan Amsyar di istana Heidelberg)

........................................................................................................................................

Jadi untuk melatih diri supaya tidak lekang daripada memenuhkan diri
yang agak koshong (terpengaruh dengan cara cakap orang asli dari cerita
Adamaya TV3) ini, saya telah berpakat dengan rakan-rakan di sini untuk
membuat usrah setiap hari Sabtu sekitar sejam setengah
selepas Maghrib. Hah buat apa?

Kami duduk bersama-sama dan bersembang-sembang tentang benda
yang boleh mengingatkan kami tentang kebesaran Allah swt
dan membersihkan hati. Perkara-perkara yang dikongsi sesama
kami tidaklah terlalu berat, malah mungkin sesetengahnya sudah
selalu diulang sejak kecil. Tapi baju kita pun kalau lama tak basuh
akan jadi kotor juga kan?

Antara benda yang kami lakukan ialah tilawah bersama
serta membaca tafsir, kemudian memahami tafsir, membaca
hadis memahami hadis, dan juga 1 topik yang bermanfaat
yang mungkin akan disilih gantikan dengan sejarah Nabi dan
Sahabat. Banyak ganjarannya duduk dalam majlis-majlis
mengingati Allah ni. Percuma je malaikat-malaikat
berpusu-pusu mengelilingi kita hingga ke arasy Allah swt mendoakan
kesejahteraan dan keampunan untuk kita. Di arasy Allah swt pula,
nama-nama orang yang ada dalam majlis tu akan Allah swt sebut
di depan para malaikat. Betapa orang-orang dalam majlis
mengingati Allah ni dimuliakan kan kan kan?

Minggu lepas pertama kali kami duduk bersama-sama dan saling
mengingatkan. Semoga Allah memberi kami semangat untuk istiqamah
dan semangat untuk menyampaikan benda yang berharga ni untuk
rakan-rakan yang lain tak kira Muslim ataupun tidak. Doakanlah hati saya
dan semangat saya ni agar dikekalkan ya. Dulu dakwah kerja Rasulullah
saw dan nabi-nabi. Tapi sekarang mereka dah tiada, maka siapa
lagi yang bertanggungjawab untuk menyebarkan Islam
kalau bukan kita kan?

Sabda Rasulullah saw :

"Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.."

Tuesday, April 20, 2010

2 bulan

Biasanya rakan-rakan bloggers menggunakan ayat 'blog bersawang'
sebagai istilah untuk menunjukkan bahawa blog mereka sudah lama
tidak di update. Oleh kerana saya tidak nampak sawang di blog ini, jadi
saya tidak mengatakan blog saya sudah bersawang setelah sekitar 2
bulan tiada Post terbaru.

Banyak perkara yang telah berlaku sepanjang 2 bulan yang lepas. Rambut
saya sudah semakin panjang, iaitu tahap di mana sekiranya saya pulang
ke Malaysia tanpa memotongnya sudah pasti Mama akan menggunakan
modal bahawa anak daranya sudah bertambah lagi seorang. Namun itu
hanyalah 1 diantara banyak lagi perkara-perkara lain yang penting.

Memang sebenarnya saya merindui blog ini. Sedar tidak sedar, sudah
hampir 3 tahun saya menulis dan menyimpan sedikit sebanyak pengalaman
di dalam blog ini. Jika dijadikan diari sudah pasti banyak sekali halamannya.
Malah mungkin terdapat mangga kecil yang mengunci diari tersebut
kerana terdapat cerita-cerita yang agak memalukan. Tetapi semasa kecil
saya gemar membuka diari-diari kakak-kakak saya menggunakan kunci
tabung saya. Sekarang baru saya sedar mengapa mereka mengunci
diari mereka.

Kenapa dah lama tak update blog ni? Banyak kerja? Sibuk? Dah hilang
minat? Lupa password? Lupa nama blog? Adakah logik untuk
melupakan nama blog ini? Sebenarnya saya tidaklah terlalu sibuk.
Ada kemungkinan saya banyak menghabiskan masa dengan
perkara-perkara tidak berfaedah yang lain, sehingga lupa untuk
update blog ini yang sebenarnya lebih penting. Kerana cuma melalui
blog inilah keluarga, saudara mara, dan rakan-rakan rapat mengetahui
tentang perkembangan saya. Rakan-rakan yang lain mungkin
cuma boleh mengikuti perkembangan saya di Facebook.

InsyaAllah selepas ini akan saya kongsi serba serbi apa yang berlaku
sepanjang 2 bulan lepas dan juga perkara terkini =]
Jumpa lagi semua ya.


Rasanya ni gambar yang terbaru

p/s : patut ke aku potong rambut sebelum balik ni? Wahai rambut,
jangan risau, kerna kita pasti akan berjumpa lagi.. Sob sob.

Related Posts with Thumbnails