Tuesday, August 24, 2010

Cinta tertinggi

Firman Allah SWT :

"Katakanlah (wahai Muhammad SAW), jika bapa-bapa kamu, anak-anak

kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum
keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang
kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang
kamu sukai menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada
Allah dan rasul-Nya maka tunggulah sehingga Allah
SWT
mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya). Kerana Allah SWT

tidak akan memberi petunjuk kepada orang fasiq (derhaka)"

(at-Taubah : 24)

Ayat ini menunjukkan kepentingan dan kewajipan menjadikan Allah swt
dan Rasulullah saw sebagai yang paling kita cintai sebelum
perkara-perkara lain.


...........................................................................................................................................

Dengan dunia yang semakin mencabar dugaannya, semakin besar usaha
yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan daripada perkara-perkara
lain selain daripada Allah swt dan Muhammad saw daripada mengambil
bahagian yang besar tempat di dalam hati kita. Tapi bagaimana?

Ada beberapa cara yang mungkin boleh kita amalkan untuk mengekalkan
kebesaran dan rasa cinta terhadap Allah swt dan Rasulullah saw :

1) Apa yang kita dengar, lihat, dan cakap setiap hari adalah
perkara yang paling banyak mempengaruhi hati dan pemikiran kita.
Semakin banyak kita bercakap, mendengar, dan melihat sesuatu
perkara maka makin bertambah cinta kita terhadap perkara itu. Maka
kita harus membiasakan diri sentiasa mendengar, melihat, dan bercakap
tentang perkara-perkara yang boleh meningkatkan rasa cinta kita terhadap
Allah swt dan Rasulullah saw, agar cinta kita terhadap Allah swt dan
Rasulullah saw di dalam hati kita sentiasa terpelihara.

2) Banyakkan berfikir tentang nikmat-nikmat Allah swt yang tidak terhingga
agar kita sentiasa bersyukur dan sedar tentang kasih Allah swt terhadap kita.

Firman Allah swt :

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak
akan dapat menghitungnya"


(an-Nahl : 18)

3) Banyakkan menghidupkan sunnah Rasulullah saw di dalam kehidupan
harian kita termasuk cara pemakaian, peribadi, membaca hadis-hadis
baginda dan juga mengamalkannya agar rasa rindu dan cinta terhadap
baginda lahir dalam diri kita.

4) Yakin bahawa segala benda dan perkara selain Allah swt adalah ciptaan
Allah dan berada di bawah kekuasaanNya. Jika kita mencintai atau
mengagumi sesuatu, maka sedarlah bahawa sebenarnya Allah swt
adalah penciptanya.

5) Kurangkan sifat terlalu mengagumi, memuji-muji, atau mengagungkan
sesuatu. Yang terbaik adalah memuji-muji Allah swt yang menciptakannya.
Kerana perkara yang kita terlalu kagum atau agungkan tanpa mengingati
Allah swt akan menjadi perkara yang besar dan penting di dalam hati kita.

6) Sentiasa berisitighfar kepada Allah swt sekiranya terasa bahawa kita
mementingkan dan cinta sesuatu perkara melebihi Allah swt dan Rasulullah
saw. Sentiasa juga berdoa kepada Allah swt tidak putus-putus agar
cinta kita yang utama sentiasa dipelihara dan dijauhkan daripada
golongan fasik.

7) Banyakkan berkongsi dengan rakan-rakan tentang perkara-perkara di
atas agar kita sentiasa mengingati diri sendiri disamping bermanfaat untuk
semua orang dan juga mendapat pahala.

Firman Allah swt :

"Dan berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
bagi orang-orang yang beriman"

(adz-Dzariyat : 55)

Semoga peringatan ini bermanfaat untuk diri saya dan para pembaca sekalian.
Sama-sama kita berdoa agar kita sentiasa dalam golongan yang meletakkan
Allah swt dan Rasulullah saw sebagai cinta yang tertinggi di dalam hati kita.

Wednesday, August 18, 2010

Muhasabah Ramadhan



Sebuah filem pendek yang saya cuba hasilkan untuk dihantar ke 3R
(Remaja Raikan Ramadhan) sempena bulan Ramadhan. Semoga mesej
yang cuba disampaikan jelas dan bermanfaat. Selamat menonton :)

Tuesday, August 17, 2010

Balik

"Maein kat mana? tak keluar lagi ke?"
tanya saya kepada Mutmaein melalui telefon.

"Maein lambat sikit kot, solat kat dalam dulu.."
jawabnya lebih kurang.

...................................................................................................................................................

Selepas sekitar 2 minggu saya tiba di Malaysia, adik saya Mutmaein dari
Mesir pun menyusul. Alhamdulillah tahun ini sekali lagi kami pulang dan
dapat bertemu di Malaysia. Kemungkinan besar tahun depan dia tidak
pulang ke Malaysia dan saya juga belum tentu akan pulang tahun depan.
Jadi nampaknya kami akan berjumpa semula lepas 2 tahun.

Ketibaannya dijangka pada sekitar jam 7 petang, jadi saya, mama, dan baba
keluar dari rumah sekitar jam 5.30 petang. Tempoh dari rumah ke KLIA
tidaklah terlalu lama, tapi disebabkan waktu ini orang pulang dari kerja,
jadi jalan agak sesak. Kami berbuka dengan kurma di balai ketibaan dan
solat maghrib di surau KLIA. Selepas itu kami singgah di Food Court.

Mad dan Baba

Baba dan Mama

Mad dan Maein

Dia akan kembali ke Mesir pada 12 Oktober, iaitu 12 hari selepas saya kembali
ke Jerman. Sebenarnya cuti kali ini juga adalah cuti saya di Malaysia yang
paling lama iaitu sekitar 9 minggu.

Monday, August 16, 2010

Jasa Ibu

Dalam zaman Umar al-Khattab sebagai khalifah, ada seorang pemuda
yang menjaga ibunya dengan sangat baik. Dalam keadaannya ibunya yang
tenat dan perut bernanah, pemuda itu mengusung ibunya walau ke mana
pun dia pergi. Dia jugalah yang memandikan, menyuap makanan, memberi
minum, dan menghirup serta meludah sendiri nanah yang keluar dari perut
ibunya. Malah semasa solat juga dia mengendong ibunya di belakang..

Pada suatu hari, dia berjumpa dengan khalifah Umar dan bertanya
"adakah dengan memberi makan dan minum, menjaga ibuku dengan baik,
dan mengusungnya kemana sahaja aku pergi boleh membuatkanku

masuk syurga?"


Khalifah Umar pun menjawab
"Apa yang telah kau lakukan tidak akan dapat menandingi walau setitis
susu daripada ibumu itu.."


Kisah ini saya petik daripada perkongsian tazkirah semasa Iftar di
pejabat ADUN Ulu Klang semalam.

...............................................................................................................................................

Semalam Kak ya mengajak saya dan adik berbuka puasa di pejabat ADUN
Ulu Klang. Kak ya dan Abg wah datang sebentar pada tengahari bersama
Marwan dan Hana. Kak ya dan Abg wah pulang ke rumah manakala Marwan
dan Hana tinggal di rumah kami sehingga petang. Sekitar 6.30 petang kami
pergi ke pejabat ADUN tersebut bersama-sama. Ada sedikit perkongsian
sebelum iftar dan kami solat Maghrib berjemaah. Memang nikmat rasa
masa berbuka.

Sabda Rasulullah saw :

“Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan, yaitu kesenangan
ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan
Rabbnya. ” (HR Bukhari-Muslim)


Marwan Abid (5 tahun)

Maryam Hana (3 tahun)

Selepas berbuka, kami solat tarawih di masjid Wilayah Persekutuan. Saya sangat
kagum dengan masjid ini yang sangat besar dan cantik binaannya. Mungkin
kerana hampir setahun tak menjejakkan kaki dalam masjid yang besar
semasa di Jerman, saya rasa agak teruja bila berada dalam masjid yang
sangat hebat dari segi binaannya.

Masjid Wilayah Persekutuan

Selepas selesai tarawih, Abg wah dengan besar hatinya membelanja kami
sekalian di restoran Farooq. Selamat 2 keping roti canai dan Horlicks
ais masuk perut.

Milo goyang! Goyang bang goyang!

Saya sedang membuat sebuah video untuk dihantar ke pertandingan
"Filem pendek Ramadhan" anjuran 3R (Remaja Raikan Ramadhan).
InsyaAllah bila dah siap nanti saya kongsikan di sini.

Related Posts with Thumbnails